hello everybody..so long never update my blog..so today I'm gonna update a lil bit history on my paternal side...hehe...
Kota Tinggi terkenal dengan sejarah Sultan Mahmud Mangkat Di Julang ataupun nama asal baginda adalah Sultan Mahmud Syah 2. Baginda merupakan waris terakhir dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka yang berhijrah lalu membina pemerintahan di Kota Tinggi setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Ketika baginda ditabalkan pada tahun 1685, baginda baru sahaja berusia 10 tahun dan dalam usia yang begitu muda sebegitu baginda dibantu oleh Bendahara Tun Abdul Jalil dalam urusan pemerintahan negeri.
Pada ketika itu Sungai Johor menjadi pusat laluan perdagangan yang utama dan disebabkan itu maka kegiatan lanun sering mengancam dan mengganggu pedagang-pedagang yang menggunakan laluan ini. Laksamana Megat Seri Rama@Laksamana Bentan; disebabkan asal kelahiran di pulau itu diberi tanggung jawab untuk mengepalai angkatan tentera untuk menjaga keselamatan kapal-kapal dagang dan juga menghapuskan kegiatan lanun terutama perairan Mersing hingga ke Tanjung Penyengat dan juga Riau yang menjadi tanah jajahan kerajaan Johor ketika itu.
Pada suatu hari, baginda mengarahkan hulubalangnya mengambil buah nangka yang sedang masak ranum untul dijadikan santapan baginda. Arahan itu dituruti dan sewaktu dalam perjalanan pulang ke istana membawa sebiji buah nangka yang cukup masak, hulubalang ini dan juga penghulu yang turut sama mengiringi telah dipanggil oleh Dang Anum (setengah kisah dinamakan Wan Anum) yang sedang sarat mengandung. Dang Anum meminta buah nangka tersebut kerana dia begitu mengidam untuk memakannya tetapi permintaan itu ditolak dengan baik. Namun melihatkan keadaan Dang Anum yang sarat mengandung dan begitu mengidam untuk memakan buah nangka, dengan belas kasihan maka mereka bersetuju untuk memberikannya seulas dengan syarat kawasan buah yang ditebuk perlu ditampal semula sebelum dipersembahkan kepada sultan. Malangnya, baginda sultan menyedari buah nangkanya ditebuk apabila hirisan kulit nangka itu jatuh di atas kaki baginda sewaktu membelek-belek buah nangka itu.
Baginda amat murka dan memerintahkan penghulu serta hulubalang menceritakan kejadian sebenar atau mereka akan dikenakan hukuman yang berat bulan sahaja ke atas diri mereka, bahkan seluruh keluarga mereka juga akan dikenakan hukuman. Lantaran takut atas hukuman yang akan dijatuhkan, maka mereka menceritakan hal yang sebenar dan serta merta Dang Anum diperintahkan menghadap. Dang Anum menjelaskan sendiri perihal anak dalam kandungannya yang inginkan buah nangka itu tetapi baginda tidak percaya lantas mengeluarkan perintah untuk membelah perut Dang Anum untuk melihat sendiri kebenarannya walaupun dihalang oleh bendahara.
Alangkah terkejutnya baginda kerana apa yang dikatakan oleh Dang Anum adalah benar dan baginda menitahkan kepada saksi yang berada di tempat kejadian supaya menutup mulut mereka dari bercerita mengenai kejadian itu lebih-lebih lagi kepada Laksaman Bintan yang akan pulang dari berjuang ibarat "Biar pecah di perut, jangan di mulut!". Kepulangan Laksamana Bintan membawa kejayaan cemerlang bagi sultan namun beliau kedukaan apabila mengetahui isteri kesayangan serta zuriat dalam kandungannya diberitakan sudah meninggal dunia tanpa diketahui punca. Penduduk kampung enggan bercerita atas titah sultan namun Tun Anam sahabatnya telah menceritakan perihal sultan yang telah menzalimi isterinya.
Dengan penuh dendam, maka Laksamana bersiap sedia untuk menuntut bela atas kematian isteri dan zuriatnya. Dan pada hari Jumaat pada tahun 1699, tatkala baginda Sultan di julang menuju ke perkarangan masjid, Laksamana muncul dan menggunakan peluang terbaik ini untuk menikam perut baginda hingga santak ke ulu hati. Baginda yang sedang dalam kesakitan sempat membaling kerisnya dan terpacak mengenai ibu jari (setengah kisah di buku lali) Laksamana dan beliau rebah disitu juga dan menghembuskan nafas terakhir. Sebelum mangkat, baginda bersumpah bahawa 7 keturunan Bentan tidak dibenarkan untuk memasuki Kota Tinggi dan baginda mangkat sejurus selepas itu dalam usia 24 tahun. Jenazah baginda dikebumikan di sebuah kampung yang kini dikenali dengan Kampung Makam.
Which is my ancestor? think about it..ahahaha.....